 Sekolah Kebangsaan Seri Manjung (SKSM) mula dibuka pada 6 Januari 1986.
Pada awal pembukaannya, sebanyak 18 buah kelas telah dibuka dengan bilangan muridnya seramai 437 orang.Sekolah ini telah dirasmikan oleh Pemangku Sultan Perak iaitu Duli Yang Maha Mulia Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibuddin Shah pada 12 Jun 1989.
Oleh kerana pertambahan murid ini, pada sesi persekolahan 1991/1992, pihak sekolah terpaksa mengadakan dua sesi. Bermula pada tahun tersebut murid-murid Tahun 1, Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 belajar pada sesi pagi manakala murid-murid Tahun 2 dan Tahun 3 belajar pada sesi petang.
Sekolah ini telah diiktiraf sebagai sekolah Gred B pada tahun 1989 dan dinaikkan taraf ke sekolah Gred A pada tahun 1992. Sekolah ini telah dipilih menjadi sekolah contoh dalam negeri Perak mulai tahun 1992 dan dianugerahkan sebagai Sekolah Harapan Negara Peringkat Negeri Perak pada tahun 1993.
Sehingga kini SK Seri Manjung telah mencapai banyak kejayaan terutamanya dalam bidang akademik dan kokurikulum. Antara pencapaian kurikulum yang membanggakan sekolah adalah keputusan UPSR tahun 2002 dan 2003 di mana peningkatan peratus lulus dan bilangan murid yang memperoleh 5A semakin bertambah.
Satu lagi kebanggaan sekolah dalam bidang ini adalah kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh Pusat Sumber Sekolah. Dalam bidang kokurikulum pula, kecemerlangan dapat dilihat dengan jelas dalam permainan bola sepak dan bola jaring. Sekolah ini sering menjadi Johan Daerah dan berjaya melahirkan pemain-pemain yang berpotensi sehingga ke peringkat negeri dan kebangsaan. Selain itu, dalam pertandingan pidato pula sekolah ini telah menjadi Johan Peringkat Negeri pada tahun 2002. |